RUU Pekerja Gig dibentang di Parlimen bulan depan

RUU Pekerja Gig dibentang di Parlimen bulan depan

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pihaknya telah menjalankan kajian, konsultasi dan mengadakan libat urus dengan 3,000 pemegang taruh.

p hailing
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyeru semua pihak memberi sokongan kepada kerajaan dalam pembentangan RUU itu demi ‘mencapai’ hasrat pekerja gig mendapatkan perlindungan perburuhan.  (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Draf Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 sudah siap dan dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan kajian, konsultasi serta mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Kami menerima input atas talian dan juga mengadakan town hall mega. Sudah 3,000 pemegang taruh telah dirujuk,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Justeru, Sim menyeru semua pihak memberi sokongan kepada kerajaan dalam pembentangan RUU itu pada sidang Parlimen Jun ini demi “mencapai” hasrat pekerja gig mendapatkan perlindungan perburuhan.

“Jangan menghalang kerajaan membela nasib pekerja gig kita.”

Pembentangan RUU itu sudah dua kali ditangguhkan pada Disember 2024 dan Mac lalu.

Ia selepas beberapa syarikat ekonomi gig menggesa kerajaan memperhalusinya bagi memastikan ia jelas, praktikal dan dapat dilaksanakan dengan cepat.

Aspek utama RUU itu termasuk pengenalan definisi rasmi pekerja gig, penetapan pampasan minimum, penciptaan mekanisme aduan dan perlindungan keselamatan sosial seperti sumbangan mandatori kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.