
Pengerusi Risda, Manndzri Nasib, berkata inisiatif dikenali “Green Rubber Fuel” itu hasil projek rintis kumpulan inovasi “Transformation for New Generation” (TR4NG) di bawah inisiatif Pejabat Risda Jajahan Tanah Merah, Kelantan.
“Langkah ini disifatkan pendekatan strategik dan kreatif bagi menangani cabaran dihadapi industri getah negara, termasuk ketidaktentuan harga pasaran, penurunan permintaan global dan kecenderungan pekebun kecil beralih kepada tanaman lain.
“Inisiatif inovatif ini berpotensi mengangkat nama Risda serta mengubah persepsi industri getah bukan lagi industri malap (sunset industry), sebaliknya ‘the new rising renewable sector’,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Sebelum ini, potensi projek biofuel getah itu turut disentuh Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang menyifatkannya mampu menjadi model pembangunan luar bandar berimpak tinggi dan memacu transformasi sektor getah ke arah masa depan lestari dan berdaya saing.
Manndzri berkata, kumpulan TR4NG dianggotai sembilan ahli telah memperkenalkan teknologi unik menukar sekerap getah kepada biofuel melalui proses pembakaran terkawal dan penyulingan berperingkat.
“Hasilnya, tiga jenis bahan api dihasilkan, iaitu cecair hampir menyerupai sifat petrol, minyak putih dan gas butana, yang berjaya diuji pada motosikal, traktor mini, mesin rumput dan lori tanpa campuran bahan tambahan.
“Ujian makmal turut memperakukan komponen kimia dalam bahan api tersebut memiliki potensi tinggi untuk digunakan secara praktikal dan selamat, jika dilaksanakan melalui kajian lebih komprehensif.”
Proses itu, menurutnya disaksikan sendiri melalui lawatan kerjanya baru-baru ini, selain biofuel yang terhasil turut dicuba sendiri.
Katanya, anggaran 1kg getah sekerap mampu menghasilkan sehingga lima liter minyak biofuel yang secara tidak langsung mampu membuka peluang baharu penjanaan pendapatan kepada lebih 500,000 pekebun kecil Risda, selain memberi nilai tambah kepada industri.
Beliau berkata, minyak biofuel ini bukan saja menawarkan penyelesaian mampan kepada cabaran industri getah, malah berpotensi menyumbang kepada agenda tenaga boleh diperbaharui negara dan usaha menurunkan pelepasan karbon.
Tetapi, tegasnya, pembangunan “Green Rubber Fuel” perlu dilaksanakan secara kolaboratif, melibatkan lebih banyak agensi kerajaan dan pihak berkepentingan, seperti Sirim, institusi ilmu dan penyelidikan, industri, termasuklah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
“Kami mengalu-alukan semua pihak berkepentingan bekerjasama dengan Risda. Begitu juga peranan Mosti bagi mengembangkan potensi minyak biofuel ini sehingga mampu menjadi aset negara dan menyumbang kepada pendapatan negara.”
Sebagai langkah susulan, Manndzri berkata, beberapa tindakan strategik dicadangkan, iaitu pembiayaan pembangunan prototaip dan fasiliti makmal serta pelaksanaan program inkubasi inovasi luar bandar.
“Pendaftaran paten dan perlindungan harta intelek, selain promosi serta komersialisasi di peringkat nasional dan antarabangsa.”
Katanya, usaha warga Risda ini membuktikan transformasi sektor getah boleh dicapai dan mampu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi tenaga biofuel berasaskan hasil pertanian.
“Dengan sokongan serta kepercayaan berterusan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang lestari dan berimpak tinggi, selaras aspirasi Desa Madani.
“Daripada sekerap kepada sumber – biofuel getah simbol inovasi luar bandar untuk tenaga masa depan.”