Pemimpin Bersatu lapor polis berhubung audio didakwa mirip Rauf

Pemimpin Bersatu lapor polis berhubung audio didakwa mirip Rauf

Ali Mohamad buat laporan polis berhubung satu audio yang tersebar di media sosial.

MOHAMAD ALI MANTAN SPEAKER DEWAN NEGARA
Ali Mohamad buat laporan polis berhubung audio tular, yang didakwa ada kaitan dengan penahanannya tahun lepas.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Bersatu membuat laporan polis berhubung audio didakwa mirip suara Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, yang tersebar di media sosial.

Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Ali Mohamad mendakwa ia ada kaitan dengan penahanannya tahun lepas, oleh polis.

“Saya letak keyakinan saya kepada penguatkuasa polis sebagai salah satu badan tempat bagi rakyat,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, selepas laporan dibuat di IPD Dang Wangi.

Ali pernah menyebut tentang penahanan tersebut di Facebook, pada 15 April lalu tanpa huraian lanjut.

Semalam, Rauf menyifatkan penyebaran beberapa audio didakwa mirip suaranya sebagai ‘permainan politik’ untuk menjejaskan karakter beliau.

Berita Harian memetik pemimpin Umno itu sebagai berkata beliau tidak terkesan dengan permainan seumpama itu, justeru tidak perlu untuk membuat laporan polis.

Sebelum ini, media melaporkan, tular audio berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial, yang didakwa suara mirip Rauf, sehari selepas beliau nafi ada kaitan dalam penahanan Ali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 April lalu.

Pada 15 Apr lalu, Ali direman SPRM bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah, menurut peguam Rafique Rashid Ali.

Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, dilaporkan menggesa Rauf membuat laporan polis jika tiada kaitan dengan audio berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.