Lelaki ditahan bersama 1kg syabu, aset hampir RM1 juta disita

Lelaki ditahan bersama 1kg syabu, aset hampir RM1 juta disita

Polis menemui syabu seberat 1.02kg ketika memeriksa badan suspek.

handcuff
Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin berkata warga tempatan itu ditahan di sebuah premis kosmetik tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi, Kuala Terengganu kira-kira jam 8.40 malam Isnin lalu.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan bersama syabu lebih 1kg dan polis turut merampas harta suspek dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah hampir RM1 juta.

Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin, berkata warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah premis kosmetik tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi, Kuala Terengganu kira-kira jam 8.40 malam Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas badan suspek menemui satu plastik hijau mengandungi syabu seberat 1.02kg.

“Nilai pasaran keseluruhan dadah tersebut dianggarkan RM32,000 dan boleh digunakan 6,000 penagih,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, polis turut menyita harta suspek dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah berjumlah RM981,500, termasuk Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover, wang tunai RM7,700 serta barangan kemas seperti gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif nimetazepam dan direman tujuh hari hingga 5 Mei ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Khairi berkata, polis masih mengesan saki-baki rangkaian sindiket dipercayai masih bebas itu dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik 011-6735 1234.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.