Injap tangki air rosak punca Menara Kinabalu ‘banjir’

Injap tangki air rosak punca Menara Kinabalu ‘banjir’

Kerosakan tangki air simpanan sistem pencegah kebakaran itu menyebabkan air melimpah dari aras 11 hingga 7.

Video tular menunjukkan keadaan di Blok A Menara Kinabalu di Kota Kinabalu yang dilimpahi air akibat kerosakan pada tangki air simpanan sistem pencegah kebakaran.
KOTA KINABALU:
Kerosakan pada komponen Float Valve tangki air simpanan sistem pencegah kebakaran di Aras 11, Blok A, Menara Kinabalu semalam menyebabkan berlaku limpahan air di kawasan pejabat.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Philemon Lajawai berkata kejadian pada 12.25 tengah hari itu mengakibatkan aras 7 hingga 11 blok terbabit ditakungi air meliputi kawasan seluas 2,588 meter persegi termasuk lif.

“Kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan pada 11.30 malam Rabu (30 April),” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu kejadian itu tular menerusi media sosial memaparkan kawasan pejabat dilimpahi air.

Philemon berkata kelewatan pihak syarikat pengurusan fasiliti, Sinar Uni-Resources Sdn Bhd untuk menutup pam air telah mengakibatkan air melimpah dari aras 11 hingga 7.

Beliau berkata dianggarkan 34,000 liter air telah dipam secara berterusan dalam tempoh 45 minit yang telah mengakibatkan limpahan air tersebut dan komponen yang rosak telah digantikan serta-merta.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan, penyelenggaraan dan bagi mengurangkan risiko kerosakan pada sistem lif, sistem pengoperasian lif (lapan lif) telah ditutup serta-merta semasa kejadian.

“Operasi satu lif petugas telah disahkan selamat pada 6 petang semalam, manakala satu lif kargo tidak terkesan insiden dan masih berfungsi seperti biasa,” katanya.

Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah akan menjalankan siasatan secara terperinci berkaitan insiden itu untuk mengesahkan tiada unsur-unsur kecuaian dan mengelakkan perkara sama daripada berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.