
Ketua Penerangan, Suhaimi Nasir, berkata Umno Sabah melihat Bung paling layak diangkat sebagai wajah BN negeri itu berdasarkan kedudukannya sebagai orang nombor satu dalam gabungan tersebut.

“Untuk Umno Sabah memang tradisinya (poster boy) adalah pengerusi BN,” katanya pada sidang media khas bersama media, baru-baru ini.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran bagaimanapun akui pakatan PH-BN masih belum menamakan mana-mana pemimpin sebagai ‘poster boy’, jika kerjasamanya menjadi realiti.
“Kita kena dapatkan nasihat daripada ketua kedua-dua parti,” katanya mengulas kemungkinan kerjasama BN-PH pada PRN.
BN dan PH belum menjalinkan kerjasama secara rasmi.
Pada 4 April lalu, Bung berkata BN tidak mengutamakan siapa akan diangkat sebagai ‘poster boy’ kerana semua calon mempunyai kelayakan sebagai ketua menteri.
Sebaliknya, Adun Lamag itu berkata Umno Sabah fokus pada memenangi seberapa banyak kerusi dipertandingkan, bagi memastikan BN dominan dalam menerajui pentadbiran negeri.
Untuk rekod, Bung pernah menjadi timbalan ketua menteri dari 2020, namun dilucutkan jawatan pada Januari 2023 selepas Umno gagal menjatukan pentadbiran Hajiji Noor
Dalam pada itu, Suhaimi berkata BN kekal dengan pendirian untuk bertanding 40 DUN, sementara baki 33 kerusi diberikan kepada PH dan rakan kerjasama lain.
“Kerusi Umno lebih kepada semi-urban (separa bandar) dan luar bandar manakala kerusi bandar kita berikan kepada PH atau rakan gabungan,” katanya.
MCA perlu sedar diri
Mengulas dakwaan MCA Johor kerjasama BN dan PH menyebabkan pengaruh parti itu merosot dan diketepikan, Suhaimi berkata MCA perlu mengakui sokongan dan kekuatannya semakin merosot.
Mengambil konteks Sabah, BN telah memberikan banyak peluangnya bertanding namun tidak pernah menang.
“Kita berikan kerusi (bandar) untuk mereka tapi tak berjaya.
“Jadi dia sedar diri jugalah,” katanya menasihatkan MCA di Malaysia Barat supaya terus bekerja di lapangan untuk menguatkan kembali sokongan akar umbi sebagai persediaan PRU16.
“Jika MCA kuat, sudah pasti BN akan bertambah dominan dan kembali diyakini rakyat.”
Sebelum ini, Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li, mendakwa kerjasama BN-PH hanya mempercepat kemerosotan serta menjejaskan kelangsungan Umno, selain mengecilkan pengaruh politik MCA.
Katanya, jika trend ini diteruskan parti komponen BN hanya menjadi pelengkap kepada kerajaan yang didominasi PH.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon dipetik Sin Chew Daily, menggesa parti itu untuk mengawal masa depan sendiri jika BN terus berlengah membuat keputusan jelas mengenai hala tujunya.
Chong berkata MCA telah memberi lebih dua tahun kepada BN untuk merancang semula selepas PRU15, namun ketidakpastian berterusan menyebabkan ahli parti itu kecewa dan keliru.