Budak 5 tahun maut tertinggal dalam van sekolah, pemandu ditahan

Budak 5 tahun maut tertinggal dalam van sekolah, pemandu ditahan

Polis berkata mangsa dipercayai tertinggal dalam van sekolah ketika pemandu menurunkan murid di depan sekolah kira-kira 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan berkata lelaki 56 tahun itu ditahan di sekitar Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada 2.40 petang Rabu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu van sekolah ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak lelaki lima tahun disyaki tertinggal dalam kenderaan itu lebih empat jam semalam.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan, berkata lelaki 56 tahun itu ditahan di sekitar Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada 2.40 petang Rabu.

Menurutnya, suspek tiada rekod lampau dan negatif dadah.

“Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, beliau mengesahkan polis sedang menyiasat kematian kanak-kanak yang bersekolah di tadika dekat Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri selepas mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam van sekolah kira-kira 12 tengah hari.

Katanya, mangsa dipercayai tertinggal dalam van sekolah itu ketika pemandu menurunkan murid di depan sekolah kira-kira 7.30 pagi semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian dengan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.