Bersatu jika ingin sokongan raja, Dr M beritahu parti Melayu

Bersatu jika ingin sokongan raja, Dr M beritahu parti Melayu

Bekas perdana menteri berkata perpecahan Melayu bukan sahaja melemahkan kaum itu malah berisiko menjejaskan kedudukan institusi diraja.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad berkata kurang tepat mempercayai pemimpin tertentu boleh menyatukan orang Melayu seperti sering digambarkan.
KUALA LUMPUR:
Parti Melayu perlu memaparkan kesatuan jika mahu sokongan moral raja-raja Melayu, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temu bual bersama FMT, Mahathir turut menegaskan perpecahan Melayu bukan sahaja melemahkan kaum itu malah berisiko memberi kesan kepada kedudukan institusi diraja.

Beliau tidak menghurai lanjut gesaannya itu kecuali menegaskan kestabilan sistem raja berperlembagaan bergantung kepada kekuatan politik Melayu sendiri.

“Sebab itu kita (parti Melayu) perlu bersatu dulu.

“Kalau bersatu, mungkin raja-raja boleh memberi sokongan moral,” katanya yang menekankan institusi diraja tidak terbabit dengan politik mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila orang Melayu berpecah menjadi lemah, mereka fikir boleh pergi dapat sokongan raja-raja tetapi mereka tidak terbabit politik.”

Perdana menteri keempat dan ketujuh itu mengulas soalan berkait usaha menyatukan orang Melayu dan peranan boleh dimainkan raja Melayu bagi menjayakannya.

Polemik kuasa politik Melayu kerap dibangkitkan terutama selepas pasca PRU15 menyaksikan parti mewakili kaum itu berpecah kepada beberapa blok.

Umno parti Melayu terawal kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang menimbulkan persoalan susulan keberadaan DAP selain undi Melayu dilihat berpecah susulan kewujudan lebih banyak parti

Perikatan Nasional (PN) dikuasai Bersatu dan PAS berada di blok pembangkang dengan kekuatan 68 Ahli Parlimen yang hampir semuanya Melayu.

Dalam pada itu, Mahathir berkata kurang tepat untuk mempercayai pemimpin tertentu boleh menyatukan orang Melayu seperti sering digambarkan.

Merujuk pentadbirannya hampir 24 tahun di persekutuan, Mahathir mendakwa beliau tidak mentadbir seorang diri namun sering merujuk kepada badan ditubuhkan yang terdiri daripada pakar.

“Kita adakan kumpulan ini kerana mereka mempunyai kepakaran. Kabinet tidak ada kepakaran…hanya popular bukan kerana mereka cekap dalam bidang pentadbiran.

“Umpamanya apabila saya berdepan dengan krisis kewangan, saya pilih pakar daripada ‘financier’, ahli perniagaan, akademik dan ‘bankers’, mereka pakar,” katanya.

“Jadi, nak pilih pemimpin paling penting sanggup mendengar nasihat daripada pakar, kalau anggap hanya dirinya pandai…negara kita (boleh) hancur.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.