
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dalam wawancara ekslusif bersama FMT, berkata perdana menteri itu juga ‘mampu menyatukan rakyat merentasi perbezaan kaum serta agama’.
Namun, Zaid berkata Wan Fayhsal sepatutnya ‘berhenti bermimpi’.
Dalam catatan di X, beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekalipun, yang sebelum ini dianggap berwawasan, tidak sanggup memansuhkan dasar sedia ada.
“Berhenti membandingkan kita dengan harimau sebenar. Ahli politik dan perkhidmatan awam kita bukan yang terbaik, dan dasar pendidikan serta ekonomi kita sudah lapuk. Golongan yang rasuah dan Ali Baba dilindungi.
“Kita memberi keistimewaan kepada kumpulan tertentu, dengan mereka tidak boleh dipersoalkan.”
“Kita adalah oligarki feudal yang diperkukuh oleh birokrasi agama, yang mana insan ‘Renaissance’ itu sendiri tiada keberanian menyusun semula dan melaksanakan reformasi,” katanya dalam catatan itu yang dipercayai merujuk kepada Anwar.
Jolokan ‘Harimau Asia’ digunakan sekitar 1980-an dan 1990-an merujuk ekonomi Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Hong Kong yang berkembang pesat dan kini berpendapatan tinggi.
Malaysia pernah diramal akan menjadi ‘Harimau Asia’ kelima, namu pertumbuhan ekonominya tersasar akibat krisis kewangan Asia 1997.
Wan Fayhsal berkata, Malaysia memenuhi semua kriteria mencapai status negara berpendapatan tinggi, dengan merujuk lokasi strategik negara di tengah-tengah Asean, dilindungi ancaman bencana alam besar serta kepelbagaian budaya dan tradisi.
“Semua ‘ramuan’ ini mesti ‘dimasak’ oleh seorang perdana menteri berwawasan serta mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.