
Presidennya, Dr Kalwinder Singh Khaira dalam kenyataan, berkata ini kerana belum ada pewartaan rasmi diterbitkan oleh kerajaan walaupun risalah soalan sering ditanya (FAQ) diberikan semasa sesi advokasi, Februari lalu.
Menurutnya, dokumen itu tidak mempunyai kuasa undang-undang yang mewajibkan klinik menguatkuasakannya.
“Dasar berkaitan paparan harga hanya boleh dikuatkuasakan selepas proses pewartaan selesai dan kandungan pewartaan itu diterbitkan secara rasmi,” katanya yang turut mendakwa kaedah pelaksanaanya juga belum dimaklumkan.

Pada 18 April lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata draf perintah bagi pelaksanaan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga produk mereka bermula 1 Mei masih berada di Jabatan Peguam Negara.
Sebelum ini, Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) mempersoalkan pelaksanaan dasar di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu sambil menegur Kementerian Kesihatan (KKM) kerana berdiam diri.
Kalwinder berkata MMA turut bimbang dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dalam sektor kesihatan.
Dakwanya, tiada sesi libat urus oleh KKM bersama MMA atau pihak berkepentingan lain setakat ini selain belum ada maklum balas dan mesyuarat bersama Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Armizan yang telah dimohon sebelum ini.
“Sebarang dasar yang mahu dikuatkuasakan secara serta-merta pada 1 Mei adalah tidak adil dan tidak munasabah tanpa sebarang libat urus dan garis masa jelas dalam pewartaan,” katanya.
Sehubungan itu, MMA menggesa doktor dan pengamal perubatan am (GP) tidak tunduk kepada tekanan memaparkan harga ubat selagi tiada pewartaan rasmi selain menyeru pihak dalam sektor berkenaan bersatu mempertahankan profesion kesihatan.