
Sinar Harian melaporkan Mohammad Hanif Ahmad, 41, dan Maimunah Syahbudin, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan satu hingga empat, Hanif didakwa menggunakan jawatannya sebagai penjawat awam di Majlis Perbandaran Dungun (MPD) bagi mendapatkan suapan berbentuk kontrak kerja pembersihan awam dan kerja berkaitan bernilai RM4,984,296.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana mengesyorkan syarikat bapa, abang dan rakannya bagi mendapatkan kontrak itu antara 16 Dis 2018 hingga 9 Mac 2021 di Jalan Yahaya Ahmad, Dungun.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Maimunah pula berdepan 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu, iaitu penyata akaun dan sijil akuan pendaftaran syarikat tiga syarikat berbeza di MPD.
Bekas kontraktor itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di lokasi sama antara 17 Dis 2020 hingga 10 Jan 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan Hanif diikat jamin RM18,000, manakala Maimunah RM10,000.
Sebutan semula kes ditetapkan 12 Jun ini.