
Sumber parti mendedahkan kepada FMT, antara pengisian bakal dibincangkan termasuk agihan kerusi, selain jawatan dalam kerajaan jika gabungan terbabit menawan DUN Sabah.
Dalam aspek agihan kerusi, sumber itu berkata BN Sabah kekal dengan pendiriannya bertanding 40 daripada 73 DUN manakala selebihnya diserahkan kepada PH.
“Setakat ini perbincangan tidak rasmi dengan PH negeri amat positif,” dakwanya sambil mendedahkan beberapa perjumpaan telah berlangsung antara pimpinan negeri dua komponen terbabit.
“Malam ini pimpinan Umno negeri dijangka membentangkan tawaran atau tuntutan kepada pimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan sewajarnya.
“Kita kekal dengan pendirian kerjasama di pusat perlu selari dengan negeri supaya kestabilan politik dapat dikekalkan,” kata sumber itu.
Mesyuarat MKT Umno itu dijadual diadakan di Menara Dato’ Onn, 8 malam.
Sumber itu berkata BN Sabah juga akan mencadangkan suatu memorandum persefahaman diwujudkan bagi mengelakkan episod ‘tikam belakang’ berlaku sekali lagi.
“Kita lihat ada keperluan untuk itu (adakan MoU) supaya Umno tidak ditikam lagi,” katanya yang tidak mendedahkan butiran terbabit.
Polemik kerjasama PRN timbul susulan pengumuman Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin pada 13 April berhubung keputusan BN bekerjasama dengan PH.
Namun ketika itu beberapa pemimpin parti komponen PH mendakwa belum ada perbincangan rasmi.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS pada masa sama turut membayangkan komponen itu akan bekerjasama dengan PH.
Sebelum ini, Bung mengumumkan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS.
Ketika ini, BN berada di blok pembangkang bersama Warisan.
DUN Sabah akan terbubar pada Oktober depan dengan pilihan raya negeri ke-17 perlu diadakan selewat-lewatnya November atau lebih awal.
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan yang menjadi rebutan parti untuk membentuk kerajaan.