Pengundi Sabah lebih perhati personaliti berbanding parti

Pengundi Sabah lebih perhati personaliti berbanding parti

James Chin kata rakyat Sabah sudi terima penyertaan parti berpangkalan di Semenanjung kerana lebih banyak sumber.

bendera bn bernama-080924-1
BN ada sokongan akar umbi di Sabah, berbanding PH di Sarawak yang masih dilihat sebagai ‘parti berpangkalan di Semenanjung’, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sejarah menunjukkan Barisan Nasional di Sabah mempamerkan prestasi yang baik kerana pengundi cenderung pada personaliti berbanding parti, menurut penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata situasi ini tidak seperti di Sarawak, di mana pengundi mengutamakan parti tempatan berbanding calon.

James Chin
James Chin.

Katanya, ahli politik yang berkarisma serta mempunyai kewangan yang kukuh akan mudah menawan hati pengundi Sabah.

“Seseorang seperti ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mempunyai ini. Jadi tidak kisah (siapa rakan pakatan BN), dia akan tetap dapat sokongan,” kata Chin kepada FMT.

Beliau berkata pengundi Sabah sanggup ketepikan sebarang keraguan memandangkan parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti Umno memiliki lebih banyak sumber.

Chin berkata Umno Sabah, yang ditubuhkan pada 1991, sudah berakar umbi dalam politik tempatan dan tidak mungkin keluar dari negeri itu, terutama kerana ia memiliki beberapa personaliti popular dan menduduki 13 kerusi DUN.

Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak, sebelum ini berkata Sabah tidak boleh ikut model Sarawak kerana ia akan menolak semua parti nasional.

Dana

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata pengundi amnya cenderung memilih calon yang mampu membawa masuk dana ke kawasan mereka.

“Kebanyakan kawasan pilihan raya ini berada di luar bandar, dan apa yang menentukan keputusan pilihan raya adalah sumber yang boleh dibawa oleh parti atau calon tertentu kepada pengundi,” katanya.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata pengundi Sabah dambakan pembangunan.

“Tidak kira siapa yang berkuasa, selagi mereka boleh bawa pembangunan, mereka akan dapat undi,” katanya.

Kerjasama PH-BN?

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menyifatkan kenyataan Salleh sebagai percubaan halus untuk mempersiapkan rakyat Sabah bagi menerima pakatan antara BN dan Pakatan Harapan pada PRN yang dijangka akhir tahun ini.

Menurutnya, Salleh kelihatan mengingatkan pengundi bahawa Sabah sedia menerima parti yang berpangkalan di Semenanjung.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Awang Pawi.

“Dengan membingkai Sabah berbeza daripada Sarawak, Salleh mungkin membayangkan kerjasama antara BN dan PH di Sabah menjelang PRN,” kata Awang Azman ketika dihubungi.

Kerjasama itu nampaknya lebih perlu sekarang, ketika populariti BN semakin menurun sejak beberapa tahun kebelakangan.

Pada PRN 2008, gabungan itu memenangi 59 daripada 60 kerusi yang ditandingi. Jumlah itu menurun kepada 48 pada 2013. Lima tahun kemudian, BN menang 29 kerusi, namun enam Adun kemudian berpaling tadah kepada Warisan.

Pada 2020, ia terpaksa berpuas hati dengan hanya 13 daripada 73 kerusi DUN.

BN merupakan pemain yang dominan di Sarawak sehingga 2018, apabila parti-parti utama negeri itu menarik diri berikutan kekalahan teruk dalam PRU. Mereka kemudian menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebaliknya, gabungan nasional masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam lanskap politik Sabah.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata BN masih memiliki sokongan akar umbi yang kuat di Sabah, berbanding PH di Sarawak yang masih dilihat sebagai ‘parti yang berpangkalan di Semenanjung’.

Katanya, naratif Salleh itu cuba menjelaskan perbezaan dari segi pendekatan, dengan mengetengahkan sejarah hubungan antara Sabah dan parti-parti peringkat persekutuan sejak 1990-an.

Walaupun DAP dan PKR berasal dari Semenanjung, kedua-dua parti itu sudah berakar umbi di Sabah, kata Chin.

Kemunculan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang membolehkan seseorang menjadi ahli GRS, menambah satu lagi lapisan pada struktur politik negeri yang unik, tambahnya.

Walaupun BN dilihat membayangkan kerjasama dengan PH, Chin berkata GRS sedang berusaha untuk memeterai suatu pakatan dengan PH.

“GRS bukan seperti GPS. GRS mahu DAP dan PH kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri kerana mereka ada sokongan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.