Peguam kecam rancangan N Sembilan lupus anjing liar

Peguam kecam rancangan N Sembilan lupus anjing liar

Rajesh Nagarajan berkata risiko keselamatan bukan alasan untuk membenarkan pembunuhan 'kejam' ke atas haiwan.

haiwan terbiar anjing
Sidang DUN Negeri Sembilan hari ini sebulat suara bersetuju untuk melupuskan sebahagian anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam atas faktor keselamatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang peguam yang juga aktivis mengkritik kerajaan Negeri Sembilan berhubung rancangan untuk melupuskan anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam, dengan menyifatkan langkah itu sebagai salah di sisi undang-undang.

Rajesh Nagarajan daripada Peguam untuk Hak Asasi Haiwan mempersoalkan pihak mana yang akan dilantik kerajaan negeri untuk melupuskan anjing-anjing tersebut, sambil menegaskan bahawa hanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dibenarkan secara sah untuk melaksanakan pelupusan haiwan.

Rajesh Nagarajan
Rajesh Nagarajan.

Rajesh berkata risiko keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan pembunuhan ‘kejam’ ke atas haiwan, dan menegaskan bahawa satu-satunya cara berperikemanusiaan untuk mengawal populasi anjing liar ialah melalui kaedah ‘tangkap, mandul dan lepas’.

“Satu-satunya entiti yang boleh membunuh anjing – sekiranya benar-benar perlu – ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Oleh itu, sebarang tindakan membunuh anjing oleh kerajaan Negeri Sembilan adalah tidak sah dan bertentangan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Dan tiada istilah pelupusan secara berperikemanusiaan. Kita perlu jujur – ini adalah pembunuhan yang kejam. Ia mesti digantikan dengan program ‘tangkap, mandul dan lepas’ secara menyeluruh yang boleh mengurangkan populasi anjing liar dalam tempoh singkat,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Aminuddin Harun bahawa hanya anjing liar yang ‘mengancam keselamatan’ akan dibunuh, dan mempersoalkan penanda aras yang digunakan untuk menentukan anjing mana yang dianggap berbahaya.

“Bagaimana seseorang boleh tentukan anjing mana yang mengancam keselamatan dan yang mana tidak? Ini kenyataan yang amat mengarut,” katanya.

Terdahulu hari ini, sidang DUN Negeri Sembilan sebulat suara bersetuju agar sebahagian anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam dilupuskan atas faktor keselamatan.

Aminuddin berkata tindakan itu akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan tidak semua anjing liar akan dilupuskan. “Hanya sebahagian anjing liar di kawasan yang memberikan ancaman kepada penduduk setempat,” katanya.

Menteri besar itu juga mengakui bahawa kumpulan pencinta haiwan mungkin tidak bersetuju dengan tindakan itu, namun berharap mereka memahami keseriusan isu tersebut kerana beberapa ‘kemalangan’ berlaku akibat anjing liar yang melibatkan nyawa dan keselamatan orang awam.

Rajesh merayu kepada kerajaan negeri agar bekerjasama dengan kumpulan kebajikan haiwan untuk melaksanakan program ‘tangkap, mandul dan lepas’.

“Paling penting, salurkan dana yang dirancang untuk pembunuhan kejam ini kepada program tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.