
Dalam temu bual dengan FMT, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata negara perlu menyusun semula dasarnya dan mengubah sistem untuk mencapai visi terbabit iaitu menjadikan Malaysia pesat membangun.
“Saya percaya visi sebegini masih relevan untuk generasi masa depan. Apa diperlukan sekarang adalah penyusunan semula keutamaan supaya berada di landasan sebenar.
“Kita seharusnya mempunyai aspirasi untuk meraih gelaran itu dalam tempoh 50 tahun akan datang,” katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Istilah ‘Harimau Asia’ digunakan secara meluas pada tahun 1980-an dan 1990-an bagi menggambarkan kepesatan ekonomi negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong — yang kini telah mencapai status berpendapatan tinggi.
Malaysia pernah diramal menjadi ‘Harimau Asia’ kelima, namun pertumbuhan ekonominya tergendala akibat krisis kewangan Asia 1997.
Wan Fayhsal berkata Malaysia memenuhi semua kriteria mencapai status negara berpendapatan tinggi, dengan merujuk lokasi strategik negara di tengah-tengah ASEAN, dilindungi ancaman bencana alam besar serta kepelbagaian budaya dan tradisi.
“Semua ‘ramuan’ ini mesti ‘dimasak’ oleh seorang perdana menteri berwawasan serta mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita memiliki bakat pelbagai bahasa. Kita mahir berbahasa Inggeris dan ini akan memudahkan tarikan pelaburan berbanding negara jiran,” katanya.
Wan Fayhsal berkata kepimpinan negara perlu komited terhadap agenda reformasi yang mengutamakan kemajuan jangka panjang berbanding kepentingan politik tempoh pendek.
“Agenda ini perlu bersifat inklusif secara demokratik, dan melibatkan semua pihak — bukan sahaja golongan diraja dan ahli politik, tetapi juga setiap rakyat yang membayar cukai,” katanya.
Reformasi pendidikan
Beliau turut menggesa rombakan terhadap sistem pendidikan untuk mencapai status berpendapatan tinggi dengan menekankan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurutnya, kegagalan kerajaan dalam mempromosikan bidang itu telah menyebabkan kekurangan personaliti boleh menjadi contoh di kalangan generasi muda.
“Kita semua sedia maklum bahawa golongan muda kini tidak berminat untuk menceburi bidang sains tulen atau sains teknikal.
“Itulah sebabnya keseluruhan rantaian nilai dalam sistem pendidikan perlu dibetulkan dan direformasikan dengan model serta silibus tepat,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Fayhsal turut menggesa pendidik tidak mengabaikan subjek seni yang memupuk imaginasi dan kreativiti, sambil menegaskan beberapa teknologi paling inovatif hari ini lahir daripada gabungan antara bidang kemanusiaan dan kejuruteraan.