Jangan merajuk, fokus tawan kembali pengundi Cina, Puad beritahu MCA

Jangan merajuk, fokus tawan kembali pengundi Cina, Puad beritahu MCA

Puad Zarkashi menafikan dakwaan Umno merosot sebaliknya berjaya bangkit dalam PRK Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning.

Puad Zarkashi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata MCA harus fokus kepada jawatan di beberapa negeri dan buktikan kecemerlangan menarik balik sokongan rakyat.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menyeru sekutunya dalam Barisan Nasional (BN), MCA fokus kepada usaha menawan kembali sokongan masyarakat Cina yang ‘merosot’ terhadap parti itu.

Di sebalik dakwaan Umno kian merosot selepas menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi menegaskan parti itu terbukti bangkit semula, bersandarkan keputusan PRK Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning.

“Sebab itu MCA perlu tabah dan jangan merajuk sampai menarik diri di PRN 2023.

“Mereka patut fokus kepada peranan dan jawatan yang mereka pegang di Johor, Melaka, Perak dan Pahang. Buktikan MCA cemerlang untuk tarik balik sokongan rakyat,” katanya di Facebook.

Selain itu, Puad berkata MCA tidak boleh menyalahkan BN atas keraguan ahli parti berhubung kedudukan mereka dalam gabungan politik tersebut.

“MCA kena tanya diri sendiri kenapa sokongan kaum Cina kepada parti itu merosot? Kenapa di PRU ke 15 MCA menang dua kerusi sahaja?

“Tiada kaitan terhadap BN. Ketika itu BN bertanding solo. Kerjasama BN dan PH untuk membentuk kerajaan hanya berlaku selepas PRU ke 15,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama perpaduan dijalin ketika ini demi kelangsungan rakyat dan kerajaan yang stabil.

“BN mesti membuktikan ia mendengar nasihat raja Melayu, komited dan kekal sederhana. Itulah hala tuju yang jelas,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li, yang mendakwa kerjasama BN-PH hanya mempercepat kemerosotan serta menjejaskan kelangsungan Umno, selain mengecilkan pengaruh politik MCA.

Katanya, jika trend ini diteruskan parti komponen BN hanya menjadi pelengkap kepada kerajaan yang didominasi PH.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon dipetik Sin Chew Daily, menggesa parti itu mengawal masa depannya sendiri jika BN terus berlengah membuat keputusan jelas mengenai hala tujunya.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Selayang 2025, beliau berkata MCA telah memberi lebih dua tahun kepada BN untuk merancang semula selepas PRU15, namun ketidakpastian berterusan BN menyebabkan ahli MCA kecewa dan keliru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.