
Protes itu dianjurkan oleh seksyen pengamal perubatan am Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan dijadual bermula jam 10 pagi dengan doktor swasta berkumpul di luar bangunan KKM di Putrajaya.
Pengerusi seksyen itu, Dr Parmjit Singh Kuldip Singh, berkata perarakan aman itu akan mengikut undang-undang, dan segala kelulusan yang diperlukan akan diperoleh terlebih dahulu.
“Kami tuntut rundingan. Kami tuntut keadilan. Sertai perarakan ini, biar suara anda didengar,” menurut poster yang mempromosikan perarakan itu.
Dr Thirunavukarasu Rajoo yang bakal mengambil alih jawatan Presiden MMA, turut berkongsi poster itu di X, dan berkata dasar itu umpama ‘menjerut’ GP yang tidak pernah diajak berunding sebelum ia dilaksanakan.
“Kalau mahu kos penjagaan kesihatan kekal mampan, kukuhkan GP, bukan jerut kami. Perarakan ke Putrajaya ini bukan sekadar simbolik – ia adalah rayuan untuk terus bertahan,” katanya.
Terdahulu, MMA membidas kerajaan kerana menguatkuasa dasar mewajibkan pusat perubatan swasta mempamerkan harga perubatan tanpa menyelesaikan isu lama yang berlarutan, khususnya berkaitan yuran GP.
Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata keputusan itu yang digazetkan dengan hanya notis satu hari, bercanggah dengan komitmen yang dibuat Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, awal tahun ini.
KKM hari ini mengumumkan akan meneruskan langkah mewajibkan pemaparan harga ubat di pusat perubatan am berkuat kuasa esok — langkah yang dibantah keras MMA dan beberapa kumpulan perubatan lain.
Mereka berpendapat peraturan itu sepatutnya dikuat kuasa di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 dan bukannya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.