
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, berkata ia akan memberi manfaat kepada 6.77 juta pendeposit akaun itu membabitkan anggaran peruntukan berjumlah RM439.87 juta.
Katanya, jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM2.12 bilion sejak diperkenalkan pada 2004.
Agihan dividen pada 2023 adalah 3.60%.
Zambry berkata, agihan tertinggi dalam tempoh 10 tahun itu sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan optimum kepada pelanggan.
Katanya, peningkatan itu disokong strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan tinggi dan positif.
“Pemberian dividen 4.05% ini juga menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan kadar dasar semalaman (OPR) ditetapkan Bank Negara yang kekal pada 3.0% sepanjang 2024,” katanya dalam majlis pengumuman dividen Simpan SSPN 2024 dan pelancaran kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud, Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Pembayaran dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 2 Mei 2025.
Pada 2024 deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.17 bilion, manakala lebih 500,000 akaun baharu turut direkodkan tahun sama.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM24.37 juta atau 0.77% berbanding pencapaian tahun 2023 iaitu sebanyak RM3.15 bilion.
“Prestasi keseluruhan deposit terkumpul diterima hingga 31 Dis 2024 berjumlah RM20.56 bilion melibatkan 6.77 juta akaun. Ini merupakan pencapaian membanggakan dan bukti sokongan pendeposit Simpan SSPN terus kekal utuh,” kata Zambry.