Ada kerusi atau tidak, GRS hormat setiap komponen, kata ketua Pemuda PBS

Ada kerusi atau tidak, GRS hormat setiap komponen, kata ketua Pemuda PBS

Christopher Mandut berkata Ketua Menteri Hajiji Noor sentiasa beri peluang peranan penting termasuk kepada parti tiada wakil dalam DUN.

Christopher Mandut dan Pandikar Amin Mulia
Christopher Mandut berharap Pandikar Amin Mulia akan terus dilihat sebagai penyatu rakyat Sabah bukan sebaliknya.
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghormati setiap komponen parti yang peranannya tidak diukur berdasarkan bilangan kerusi, kata Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christopher Mandut.

Menurutnya, Pengerusi Hajiji Noor yang juga ketua menteri Sabah sentiasa memberi peranan penting termasuk kepada parti tiada wakil dalam DUN baik dalam pentadbiran atau mewakili negeri di platform serantau.

“Maka apabila timbul suara gusar menjelang musim pilihan raya, wajarlah kita bertanya secara tenang: adakah keresahan ini berpunca daripada prinsip, atau kerana angin politik mula berubah?.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah namun harus ditangani dengan kebijaksanaan sebagaimana layaknya seorang negarawan.

“Kita tidak mahu kegusaran kecil hari ini meretakkan kepercayaan telah sekian lama dibina di kalangan anggota GRS, termasuk rakyat yang kini meletakkan harapannya,” katanya dalam kenyataan

Mandut mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia mengenai kesediaannya bertanding solo pada PRN di sebalik kedudukannya sebagai satu daripada lapan parti komponen GRS.

Pandikar Amin mendakwa partinya akan berbuat demikian jika terus diperlekehkan dan diketepikan dalam gabungan GRS susulan tuntutannya mendapat kerusi ditandingi pada PRN Sabah.

Selain Usno, GRS dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Sebagai generasi muda dalam GRS, saya menaruh harapan semua pemimpin gabungan ini termasuk tokoh berpengalaman seperti Pandikar Amin akan terus dilihat sebagai penyatu rakyat Sabah bukan sebaliknya,” kata Mandut.

Mengulas isu sama, Timbalan Ketua Gagasan Rakyat Bingor Rafie Robert berkata penyertaan dalam GRS bukan satu ugutan dan seseorang itu boleh berundur jika tidak lagi yakin dengan hala tujunya.

“Ini demokrasi — tetapi demokrasi bukan tiket untuk mengugut, menghasut atau menjadi gunting dalam lipatan,” katanya.

Menurutnya, walaupun semua calon Usno tewas termasuk Pandikar Amin di DUN Pintasan, namun Hajiji secara ikhlas memberikan tempat dalam kerajaan kepada wakil Usno.

“Kalau benar tidak puas hati — jangan paksa diri. Keluar sahaja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.