
Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata program saringan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dijalankan di sembilan lokaliti di negeri ini termasuk lima perkampungan Orang Asli pada tahun lepas, lapor Bernama.
“Buat masa ini, Pejabat Kesihatan Daerah melakukan saringan ke atas penduduk kampung dan rawatan susulan terhadap pesakit kusta sentiasa dilaksanakan.
“Keadaan di kampung berkenaan pada masa ini adalah terkawal,” katanya menjawab soalan lisan Bibi Sharizah (BN-Juaseh) di sidang DUN Negeri Sembilan hari ini.
Tengku Zamrah (PH-Ampangan) berkata pihaknya juga akan melakukan pengawasan terhadap semua pesakit kusta yang telah tamat rawatan selama lima hingga 10 tahun.
“Ini termasuk semua kontak kepada kes kusta yang dikenal pasti akan disaring dan diberikan satu dos ubat antibiotik profilaksis (pencegahan) serta dipantau hingga lima tahun,” katanya.
Pada 19 Feb lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dilaporkan berkata seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia akibat kusta selepas mengalami demam seminggu.
Katanya, lapan lagi Orang Asli turut dijangkiti penyakit itu, melibatkan Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah, yang diarah dikuarantin.
Menurut laporan, penduduk terjejas melibatkan mangsa berusia tujuh hingga berusia 85 tahun dengan masing-masing lima dari Kampung Chergun dan empat dari Guntur disahkan mengidap kusta, pada 2 Jan.