Siasatan kes babit Ismail Sabri baru 15-20%, SPRM akan ambil masa

Siasatan kes babit Ismail Sabri baru 15-20%, SPRM akan ambil masa

Ketua pesuruhjaya SPRM kata siasatan melibatkan pengisytiharan aset akan ambil masa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kata memastikan kebenaran pengisytiharan harta yang dibuat akan mengambil masa.
PUTRAJAYA:
Kemajuan siasatan kes membabitkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sekadar 15%-20% setakat ini, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki menjelaskan siasatan melibatkan pengisytiharan harta sememangnya akan mengambil masa.

“Mengisytiharkan satu hal, yang pentingnya dari segi memastikan apakah yang diisytiharkan itu benar atau tidak,” katanya ketika ditemui di satu persidangan anti-rasuah.

Azam juga berkata SPRM akan memanggil Ismail dalam tempoh lebih kurang dua minggu lagi kerana ia ada minta pemimpin Umno itu sediakan beberapa dokumen.

Ismail selesai beri keterangan untuk kali kesembilan pada 25 Apr lalu, untuk menyambung rakaman memandangkan beliau dianggap suspek dalam siasatan melibatkan empat bekas pegawainya.

Ismail mengisytiharkan harta kepada SPRM pada 10 Feb dan mula disiasat agensi itu pada 19 Feb. Beliau juga dipanggil untuk soal siasat pada 13, 14, 17, 19, 20, dan 24 Mac, kemudian disambung lagi pada 24 April, dengan setiap sesi mengambil masa sekitar enam jam.

Ismail pada 22 Feb rebah di kediamannya dan dimasukkan ke hospital kerana masalah berkaitan tekanan darah, sekali gus menyaksikan dua sesi bersama SPRM tidak dapat dijalankan masing-masing pada 5 dan 7 Mac memandangkan beliau mendapat sijil sakit.

SPRM sedang menyiasat penemuan kira-kira RM170 juta wang tunai dan jongkong emas 16kg bernilai jutaan ringgit, yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi termasuk premis dijadikan ‘safe house’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.