Remaja lelaki berjaya selamatkan diri dari cubaan culik

Remaja lelaki berjaya selamatkan diri dari cubaan culik

Mangsa cedera pada muka dan lengan akibat bergelut dengan seorang suspek yang mengacukan pisau.

Mohd Iqbal Ibrahim
Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim minta orang ramai bantu siasatan selepas seorang remaja berjaya selamatkan diri dari cubaan culik. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Seorang remaja lelaki berjaya menyelamatkan diri dalam cubaan culik di Seksyen 13, semalam.

Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim berkata remaja itu cedera pada muka dan lengan akibat pergelutan dengan suspek, dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu.

“Mangsa sedang berjoging seorang diri di kawasan berkenaan sebelum didatangi sebuah kereta dinaiki dua lelaki. Seorang suspek kemudian turun dari kereta lalu mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta,” menurut kenyataan.

Mangsa enggan memasuki kereta dan bergelut dengan suspek terbabit sebelum berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Remaja itu dibawa ke hospital manakala kes sedang disiasat mengikut Seksyen 363/511 dan 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sabri Abd Rani menerusi talian 017-2892628 untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.