Had laju maksimum 30km/j di kawasan sekolah akan diwarta

Had laju maksimum 30km/j di kawasan sekolah akan diwarta

Loke Siew Fook berkata, langkah itu akan diwartakan setelah keputusan dasar dibuat menerusi jawatankuasa Jemaah Menteri.

murid lintas jalan lalu
Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya telah memutuskan dasar rendah had kelajuan di semua kawasan zon sekolah daripada 50km/j kepada 30km/j, menurut Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mewartakan kadar had laju maksimum di kawasan sekolah daripada 50 km/j kepada 30km/j dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, langkah itu dalam proses diwartakan selepas keputusan dasar dibuat melalui Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya.

“(Jawatankuasa) telah putuskan dasar untuk merendahkan had kelajuan di semua kawasan zon sekolah daripada 50km/j kepada 30km/j,” katanya.

“Ini data saintifik yang telah dikaji … jika (had laju) dapat dikurangkan kepada 30km/j, risiko kematian atau akibat daripada kemalangan agak rendah. Setiap pertambahan 10km kelajuan akan meningkatkan risiko kematian.”

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Ke-61 di Seremban, lapor Bernama.

Loke berkata, selain mewartakan had kelajuan maksimum, pihak berkuasa juga perlu menyediakan kemudahan dan keperluan prasarana jalan raya di kawasan zon sekolah, seperti papan tanda amaran dan garisan kuning, agar pengguna jalan raya sedar dan memperlahankan kenderaan mereka.

Katanya, secara purata, terdapat 70 kemalangan maut di kawasan sekolah setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.