Beri semua pelajar peluang maksimum potensi, kata Saifuddin

Beri semua pelajar peluang maksimum potensi, kata Saifuddin

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi Saifuddin Abdullah berkata pendemokrasian ilmu bermakna memastikan peluang sama rata, bukan hasil serupa.

Saifuddin Abdullah
Bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Saifuddin Abdullah berkata kerajaan mesti menyokong pelajar mengikuti laluan akademik tidak linear.
PETALING JAYA:
Setiap pelajar harus diberikan peluang membangunkan kekuatan unik mereka, kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata pendidikan demokratik adalah sistem membina bakat pelbagai, bukannya mengenakan piawaian seragam untuk semua.

“Peluang itu tidak perlu kelihatan sama untuk semua orang kerana setiap individu mempunyai keutamaan dan bakat berbeza.

“Jangkaan bahawa semua orang akan mencapai tahap yang sama adalah satu idea yang utopia. Sentiasa ada pelajar cemerlang, berkembang lewat dan mereka yang gemar melakukan perkara berbeza,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Saifuddin berkata, pendemokrasian pendidikan bukan bermaksud menyekat sekolah berprestasi tinggi, sebaliknya menyokong sekolah berprestasi rendah dengan sumber betul, dari segi profesional dan kewangan.

Beliau turut menggesa universiti awam memberi penekanan lebih besar kepada pencapaian kokurikulum dalam menilai pemohon memegang kelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Pada masa ini, pemberat kemasukan ke universiti awam adalah 90% prestasi akademik dan 10% penglibatan kokurikulum.

“Cadangan saya adalah pemberat 70:30, kerana ada individu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga menyerlah dalam bidang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga mencadangkan pengaturan khas dibuat bagi memudahkan atlet yang ingin melanjutkan pengajian mereka mengikut garis masa tidak tradisional.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya segelintir atlet memilih untuk mengambil ijazah dalam bidang undang-undang atau perubatan kerana mereka merasakan sukar mengimbangi komitmen sukan dengan program pengajian memerlukan masa intensif.

“Universiti masih bergelut untuk menyesuaikan gaya dan keperluan pembelajaran yang berbeza bagi pelajar.

“Contohnya, seorang pemain bola keranjang kebangsaan yang ingin belajar perubatan mungkin tidak dapat menamatkan kursus dalam tempoh biasa. Pelajar seperti ini seharusnya diberikan kelonggaran.

“Kita tidak mahu situasi di mana pemain tersebut, walaupun mewakili negara dalam bola keranjang, akhirnya tidak dapat menjadi doktor perubatan seperti yang diimpikan kerana universiti tidak tahu bagaimana untuk menyokong keperluannya.

“Itu tidak bermaksud kita perlu berkompromi terhadap kualiti (pendidikannya),” katanya.

Beliau berkata kelonggaran serupa juga perlu diberikan kepada pelajar mengambil tahun rehat atau mengikuti pengajian secara tidak linear.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.