
Muhammad Hafiez Kamarudin, 30, dan Muhammad Hakimi Aiman Asbullah, 19, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, lapor Kosmo!.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu secara bersama mencuri duit tabung masjid dan memecah masuk masjid di Melaka Tengah antara 5 April 2025 hingga 13 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan juga denda.
Kesalahan itu dilakukan di Masjid Ass-Sobirin di Kampung Gelam, Surau Ar-Nir di Taman Sri Krubong dan Masjid Al Hilal di Pantai Rombang yang mengakibatkan kerugian wang derma berjumlah RM2,060.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang rendah dengan alasan perlu menjaga ibu bapa yang sakit serta ahli keluarga yang tidak bekerja.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd Rodzlad yang mewakili pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dikenakan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Sharda menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan bermula daripada tarikh ditangkap dan denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar.