16 ketua bahagian Bersatu Perak minta Peja digantikan?

16 ketua bahagian Bersatu Perak minta Peja digantikan?

Sumber mendakwa mereka telah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada pimpinan meminta Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu digantikan.

Sebahagian besar ketua bahagian Bersatu Perak dikatakan tidak bersetuju dengan cara Ahmad Faizal Azumu dalam isu cadangan pertukaran kerusi di DUN yang membabitkan Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin.
PETALING JAYA:
‘Pergolakan’ dalam Bersatu Perak susulan isu cadangan pertukaran kerusi wakil rakyatnya dalam DUN didakwa semakin meruncing apabila ada akuan berkanun (SD) meminta Ketuanya Ahmad Faizal Azumu digantikan.

Perkara itu didedahkan salah seorang daripada ketua bahagian Bersatu di negeri itu yang enggan dinamakan.

Beliau mendakwa SD terbabit ditandatangani 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang tidak bersetuju dengan cara Faizal atau lebih dikenali Peja memohon pertukaran tempat antara Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin dengan Adun Changkat Jong Nadziruddin Bandi.

“SD itu minta kedudukan Peja dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain, ramai tidak setuju kerana tidak dimaklumkan pertukaran kerusi itu sebelum permohonan rasmi dibuat ke DUN.

“Surat itu diberi kepada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin pada minggu lalu, sekarang kita tunggu arahan selanjutnya,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan tindakan Faizal ‘memalukan’ Presiden Muhyiddin Yassin.

Faizal yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak sebelum ini menjelaskan beliau membuat permintaan menukar kerusi itu susulan pelantikan Nadziruddin sebagai setiausaha Bersatu Perak, jawatan dilepaskan Zainol.

Tetapi, beberapa bahagian Bersatu melihat ‘cubaan’ membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang selepas Razman Zakaria dari PAS digantung selama enam bulan.

Zainol yang menjadi Adun selama empat penggal duduk bersebelahan Razman dalam DUN Perak manakala Nadziruddin berkhidmat untuk penggal pertama.

Permintaan itu ditolak Speaker DUN Perak Zahir Abdul Khalid, walaupun beliau bersetuju memindahkan Nadziruddin ke barisan depan, dua kerusi dari Zainol.

Difahamkan, Hamzah diberi tanggungjawab untuk menangani isu membabitkan Bersatu Perak itu.

Khamis lalu, beliau menafikan isu terbabit menyebabkan Bersatu Perak berpecah.

FMT telah menghubungi pegawai Hamzah untuk mendapat maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.