Sindiket loteri ‘Mushroom’ kaut RM5 juta sebulan tumpas

Sindiket loteri ‘Mushroom’ kaut RM5 juta sebulan tumpas

Polis berkata setiap ejen judi diberikan nilai kredit dalam pool sebanyak RM4 juta oleh penganjur sebagai had pertaruhan loteri awam setiap bulan.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata empat suspek berusia 50-an hingga 70-an ditahan dalam serbuan tiga rumah yang dijadikan pusat pengiraan hasil loteri tanpa lesen.
PETALING JAYA:
Polis menumpaskan sindiket penjualan loteri tanpa lesen di Ipoh semalam, selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata empat suspek berusia 50-an hingga 70-an itu ditahan dalam serbuan tiga rumah yang dijadikan pusat pengiraan hasil loteri berkenaan.

Menurutnya, sindiket loteri dikenali ‘Mushroom’ itu dipercayai aktif sejak 2020 dan hasil kutipan terkumpulnya dijangka mencecah RM5 juta sebulan.

Beliau berkata, setiap ejen judi diberikan nilai kredit dalam pool sebanyak RM4 juta oleh penganjur sebagai had pertaruhan loteri awam  setiap bulan.

“Bagi setiap rumah yang diserbu, sindiket memperuntukkan RM4 juta untuk wang pertaruhan, jika ada yang dapat atau ‘kena’,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Perak.

Hisam berkata, jika tiada yang menang, RM4 juta itu akan dibawa ke bulan seterusnya.

“Tentu ada ‘tauke’ besar atau pembiaya di belakang mereka, di samping subejen yang bergerak secara ‘mobile’,” katanya sambil menambah beberapa subejen, ejen dan penganjur sindiket ‘Mushroom’ dikenal pasti masih bergiat aktif di Ipoh.

“Kita masih mengesan kawasan lain yang disasarkan sindiket ini kerana kita percaya ada kawasan kediaman lain yang disasarkan mereka.

“Sekarang mereka lebih mudah kerana menggunakan aplikasi menyebabkan lebih sukar untuk kita mengumpulkan bukti.”

Beliau berkata, polis antara lain merampas dua set komputer, telefon bimbit (5), kad kredit (4), kad debit (4), buku catatan (4), serta slip loteri awam tanpa lesen (10), di samping wang tunai RM110,119.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM200,000 atau lima tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.