
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan kerajaan republik itu menyekat akses kepada laman sosial Bendahari Agung PAS Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar.
“Sebagai negara berdaulat, PAS percaya Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura mempunyai semua hak di sisi undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah wajar dan sesuai bagi melindungi serta memelihara kepentingan-kepentingannya yang sah,” katanya dalam kenyataan.
“Oleh sebab isu ini turut melibatkan dua pemimpin PAS, perlu ditegaskan bahawa hantaran-hantaran yang dimaksudkan ialah pandangan peribadi mereka dan tidak sama sekali mewakili dasar dan pandangan PAS sebagai sebuah parti politik, baik tentang Singapura sebagai sebuah negara mahupun proses-proses yang berjalan di republik itu.”
Terdahulu, pihak berkuasa Singapura mengarahkan Meta menyekat akses pengguna Singapura kepada hantaran media sosial oleh tiga individu asing, yang didakwa cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya negaranya.
Selain Iskandar dan Mohamed Sukri, pengguna Facebook Singapura juga tidak lagi dapat mengakses hantaran oleh seorang individu dikenali sebagai Zulfikar Mohamad Shariff, yang kini menetap di Australia.
Pihak berkuasa Singapura berkata, Zulfikar yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020 ‘menuduh beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan komuniti Muslim, dan mengatakan komuniti Muslim tempatan tidak memerlukan seorang Ahli Parlimen Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka’.
Mohamed Sukri juga dikatakan berkongsi hantaran Zulfikar, manakala Iskandar disekat kerana menyatakan sokongan terhadap seorang calon pilihan raya tersebut.
Dalam pada itu, Takiyuddin hari ini berkata, dua pemimpin PAS itu juga segera menafikan dakwaan mereka mahu campur tangan dalam urusan pilihan raya Singapura.
“Respons atau reaksi sedemikian tentulah tidak wajar dianggap percubaan untuk campur tangan melainkan ia melibatkan langkah-langkah susulan sebenar dengan tujuan-tujuan itu,” katanya.
Beliau turut berkata, PAS menghormati perhatian dan kebimbangan Singapura dalam hal ini, namun pada masa sama percaya reaksi membabitkan dua pemimpin PAS itu adalah sedikit berlebih-lebihan dan bersifat sepihak.