Kesuma sasar sifar kemalangan, kematian di tempat kerja

Kesuma sasar sifar kemalangan, kematian di tempat kerja

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan penurunan ketara direkodkan dalam 10 tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kadar kecederaan di tempat kerja dan kematian menunjukkan penurunan sejak 2014. (Gambar Bernama)
CYBERJAYA:
Kadar kecederaan di tempat kerja merekodkan penurunan sebanyak 17% manakala kematian berkurangan 40% dalam tempoh 10 tahun lalu, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata, ia adalah pencapaian ketara yang membolehkan negara meletakkan sasaran kadar sifar kemalangan, kecederaan dan kematian di tempat kerja.

“Ini merupakan satu pencapaian amat ketara. Saya bangga dengan warga Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kesuma dan pemegang taruh.

“Tetapi misi dan hasrat kita adalah untuk sifar kemalangan, kecederaan dan kematian di tempat pekerjaan. Semua pekerja harus selamat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025.

Perkeso pada 2023 melaporkan kadar kemalangan perjalanan dan industri mencatatkan penurunan sehingga 80%, berbanding tahun sebelumnya selain 26 majikan terkeluar daripada senarai 100 majikan tertinggi kemalangan.

Sementara itu, Steven dalam ucapannya berkata aplikasi teknologi terkini memberi kesan langsung kepada kecekapan pengurusan maklumat dan risiko pekerjaan dalam aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Beliau berkata, penggunaan teknologi dron, augmented reality (AR) dan virtual reality (VR) oleh JKKP turut meningkatkan keupayaan kejuruteraan forensik, penguatkuasaan tapak bina dan penyiasatan kemalangan di lapangan.

“Ini meningkatkan keupayaan khususnya melibatkan lokasi yang tinggi dan sukar diakses,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.