
Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes hari ini selepas memanggil 13 saksi sepanjang perbicaraan bermula pada 7 April lepas.
“Pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 13 Mei ini dan mahkamah menetapkan 12 Jun untuk keputusan,” kata hakim.
Terdahulu, Mohd Sabri memaklumkan kepada mahkamah, saksi terakhirnya ialah pegawai penyiasat Muhammad Zuhairi Md Zuhir, 36, daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Dang Wangi.
Pendakwaan turut menawarkan tujuh saksi kepada pihak pembelaan jika tertuduh diperintah bela diri nanti.
Antara saksi yang dipanggil pihak pendakwaan termasuk pegawai penyiasat Wan Muhammad Wan Ali daripada Bahagian Risikan, IPK Kuala Lumpur, ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia Harlisa Haidhir Harminder dan beberapa anggota polis.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata, pihak pembelaan akan menemu bual tujuh saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.
Pada prosiding hari ini, Muhammad Zuhairi memberitahu mahkamah, polis menemukan satu ketulan disyaki ganja dalam sebuah Nissan Teana milik Muhammed Yusoff semasa pemeriksaan di hadapan surau IPK KL, tahun lepas.
Saksi itu berkata, pada awalnya pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut dilakukan untuk mencari peluru bagi pistol yang dijumpai terlebih dahulu, namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah.
“Hasil siasatan, saya dapati tiada maklumat berkaitan dadah yang diterima oleh pengadu (Wan Muhammad) mahupun mengenai kenderaan yang dinaiki tertuduh.
“Dadah tersebut dijumpai setelah pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pengadu di kawasan tempat letak kereta di depan surau IPK KL,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan.
Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah kanabis seberat 305g dalam kenderaan yang dinaikinya di depan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept tahun lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024.
Tuduhan dikemukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.