Jangan tunggu saat akhir putuskan waktu kerja jururawat, kata senator

Jangan tunggu saat akhir putuskan waktu kerja jururawat, kata senator

Dr RA Lingeshwaran berkata keputusan saat akhir telah menyebabkan tekanan yang tidak sepatutnya dan mengganggu kakitangan hospital.

jururawat nurse
Seorang senator berkata Kementerian Kesihatan mesti bertindak awal untuk mengelak penangguhan berulang pada saat akhir berhubung dasar waktu bekerja baharu bagi jururawat.
PETALING JAYA:
Seorang senator telah menggesa Kementerian Kesihatan untuk tidak melengahkan keputusan berhubung cadangan pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu bagi jururawat.

Dr RA Lingeshwaran berkata keputusan saat akhir yang berulang telah pun menyebabkan tekanan dan menganggu kakitangan di hospital awam dan ia perlu diselesaikan kementerian sebelum tarikh akhir 1 Jun.

RA Lingeshwaran
Dr RA Lingeshwaran.

“Kini, setelah hampir dua bulan berlalu, kementerian nampaknya melengahkan lagi perkara itu. Kenapa mesti tunggu saat akhir lagi? Mereka harus menyelesaikannya beberapa minggu sebelum 1 Jun untuk memastikan peralihan berjalan lancar,” katanya kepada FMT.

Pada bulan Mac, Jabatan Perkhidmatan Awam melanjutkan moratorium kepada tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan jururawat seliaannya dari 1 Mac hingga 31 Mei atas permintaan Kementerian Kesihatan.

Beberapa kumpulan jururawat telah menentang penambahan tiga jam tambahan kepada waktu kerja 42 jam seminggu untuk jururawat.

Lingeswaran, bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, berkata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mesti meyakinkan Jemaah Menteri untuk membatalkan keperluan baharu itu bagi memastikan jururawat tidak dibebani dengan dasar yang tidak adil.

“Menteri telah menyatakan bahawa kesejahteraan mereka yang bekerja pada waktu ini akan diberi keutamaan, dengan peralihan yang lebih fleksibel. Tetapi ini bukan penyelesaiannya.

“Kumpulan pekerja ini berbeza dengan penjawat awam lain. Selain tugas berat mereka sebagai penjaga, mereka adalah anak perempuan, isteri dan ibu. Minggu bekerja 42 jam sebelum ini mesti dikekalkan,” katanya.

Lingeshwaran berkata tempoh bekerja 42 jam seminggu adalah perlu untuk mengekalkan kakitangan dan mengelakkan kekurangan kakitangan yang semakin teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.