Guru maut kemalangan ketika berlumba di litar

Guru maut kemalangan ketika berlumba di litar

Zafran Saad maut selepas keretanya terbabas ketika mengambil selekoh di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata kemalangan berlaku ketika guru berkenaan berlumba di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka, Durian Tunggal, Alor Gajah petang semalam. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Seorang guru meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika menyertai satu perlumbaan kereta di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), Durian Tunggal, Alor Gajah, pada petang semalam.

Zafran Saad, 48, yang berasal dari Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa yang memandu kereta Honda Civic itu berlumba untuk merekodkan catatan masa terpantas.

“Namun sebaik tiba di selekoh, kenderaannya dipercayai tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas sendiri ke kiri litar.

“Mangsa yang cedera di kepala dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Dzulkhairi berkata kereta mangsa yang digunakan dalam perlumbaan itu juga dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, kes itu diklasifikasi mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.