Universiti bebas tentukan kursus, tanggungjawab MQA hanya piawaian

Universiti bebas tentukan kursus, tanggungjawab MQA hanya piawaian

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir kata MQA hanya memastikan sebarang kursus yang bakal ditawarkan tepati piawaian.

Zambry Abd Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir kata pihak institusi pengajian tinggi sendiri yang tentukan kursus sebelum dibawa ke MQA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Universiti diberi kebebasan untuk menentukan kursus masing-masing, kata menteri pendidikan tinggi.

Zambry Abd Kadir berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hanya memastikan sebarang kursus yang ditawarkan menepati piawaian.

“Saya tidak diberitahu semua universiti awam atau swasta perlu ikut acuan Kementerian Pendidikan Tinggi atau apa yang ditetapkan oleh MQA kerana bukan tugas mereka untuk kata boleh atau tidak,” katanya lapor Bernama.

“MQA hanya bertanggungjawab memastikan sebarang kursus yang bakal ditawarkan di universiti akan menepati kualiti dan piawaian yang telah ditetapkan namun bukan sebagai penentu mutlak.”

Terdahulu, bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Saifuddin Abdullah, menggesa universiti awam diberikan lebih banyak autonomi dan halangan birokrasi dikurangkan bagi membolehkan institusi pengajian tinggi negara berkembang maju.

Katanya dalam wawancara eksklusif dengan FMT, proses perlahan agensi itu dan risiko kerenah birokrasi menyebabkan sektor akademik negara ketinggalan di peringkat global, walaupun MQA memainkan peranan penting dalam mengekalkan standard akademik dan akreditasi kursus.

Zambry bagaimanapun berkata tidak timbul isu universiti tidak diberi kuasa autonomi kerana pihak institusi pengajian tinggi sendiri yang menentukan kursus sebelum dibawa kepada MQA.

“Setiap kursus mesti dibincangkan di peringkat MQA untuk mendapatkan kelulusan kerana kawalan kualiti penting namun MQA akan bertindak sebagai panduan sahaja kepada pihak universiti supaya kursus baharu yang bakal ditawarkan tidak sekadar tangkap muat atau rendah nilainya,” katanya.

Katanya lagi, kawal selia daripada segi pelaksanaan dan kurikulum perkara biasa untuk memastikan universiti awam menjadi entiti yang penting bagi mendidik rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.