
Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata 11,065 undi diperoleh di DUN itu semalam sudah memadai dan membuktikan kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) berkesan.
“Kita tak boleh ikut ‘on paper’ semata-mata. Walaupun hanya dapat menambah 2,000 lebih undi daripada 9,088 undi (PRU15), pada saya itu sudah memberangsangkan,” katanya kepada FMT ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri veteran Umno Tajuddin Abdul Rahman.
Usai kemenangan Mohamad Yusri Bakir semalam, Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad berkata gabungan itu gagal capai sasaran 18,000 undi susulan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Menteri besar Perak menjelaskan sasaran raih sekurang-kurangnya 18,000 undi berdasarkan peratusan keluar mengundi 75% daripada hampir 32,000 pengundi.
Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih kali ini, manakala peratusan keluar mengundi mencapai 58.07%, berbanding 74.85% pada PRU 2022.
BN mempertahankan DUN Ayer Kuning dengan 11,065 undi, berbanding Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing 6,059 dan 1,106 undi.
Sementara itu, Puad berkata keputusan muktamad kerjasama BN dan PH bagi PRN Sabah akan diputuskan dalam mesyuarat MKT Umno.
Beliau berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan di peringkat biro politik Umno dahulu sebelum dibawa ke MKT.
Katanya, mesyuarat MKT Umno seterusnya akan diadakan pada 30 April ini, namun tidak pasti sama ada kerjasama BN-PH di Sabah akan diputuskan hari itu.