

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah, berkata bantuan itu disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) secara pindahan terus ke akaun.
“Arahan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, adalah untuk memastikan bantuan ini terus dimasukkan ke dalam akaun mereka. Sebanyak tiga bulan bantuan, iaitu RM6,000, telah disalurkan secara langsung,” katanya menurut Bernama selepas majlis peluncuran Kampung Angkat Madani: Kampung Labu Lanjut, Subang Jaya.
Borhan berkata, jumlah penerima bantuan sewa rumah itu dijangka meningkat mulai minggu depan kerana proses pengagihan bantuan sedang dijalankan dengan teliti oleh pelbagai pihak.
“Terdapat beberapa kekangan teknikal kerana bantuan perlu dipindahkan ke akaun mangsa masing-masing,” tambahnya.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata seramai 396 ketua isi rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran di Putra Heights layak menerima bantuan sewa rumah selama enam bulan dengan bayaran RM2,000 sebulan.
Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih daripada 40%, 81 rumah lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.