Khabar angin PRN Julai-Ogos, agihan kerusi BN belum selesai

Khabar angin PRN Julai-Ogos, agihan kerusi BN belum selesai

Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup berkata tiada perbincangan rasmi mengenai agihan kerusi walaupun ada menyebut PRN Sabah akan dipanggil awal.

Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup, berkata parti komited kepada perbincangan terbuka dengan parti komponen BN berhubung agihan kerusi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Cakap-cakap PRN Sabah diadakan seawal Julai atau Ogos membawa kepada ketidaktentuan berkait perbincangan agihan kerusi antara komponen Barisan Nasional (BN), kata Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup.

Kurup berkata, PBRS sedang mempersiapkan jentera pilihan raya, sambil menyuarakan komited terbuka berbincang dengan komponen BN berkait agihan kerusi.

Katanya, banyak pertemuan telah diadakan, namun tiada perbincangan rasmi mengambil tempat untuk memuktamadkan agihan kawasan, lapor Borneo Post.

Beliau enggan meramalkan bila perundingan ke arah itu akan diselesaikan, mengambil kira ketidaktentuan berhubung tarikh pilihan raya. Katanya, khabar angin menyebut PRN akan diadakan ‘Julai atau Ogos tahun ini’.

“Kami sudah bersedia, tetapi kami masih dalam peringkat perundingan. Kami serahkan kepada pimpinan pusat kerana perbincangan akan diadakan pada peringkat itu mengenai gabungan dan formula pembahagian kerusi,” kata Kurup.

Katanya, keutamaan PBRS sebagai parti tempatan melihat kepada penubuhan kerajaan stabil di peringkat negeri dan pusat.

Penggal DUN Sabah akan tamat pada 8 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.