
Katanya, perkara itu diambil serius mengambil kira maklumat mengenai bahaya vape didakwa lebih buruk daripada rokok.
“Kalau boleh kita pun nak ikut macam Terengganu. Mereka kata vape ini sangat bahaya, lebih bahaya daripada rokok.
“Banyak bahan kimia dalam vape, malah ada yang campur dadah ‘mushroom’, sangat bahaya,” katanya menurut Harian Metro di Sungai Petani.
Sanusi berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik menangani isu itu demi melindungi kesejahteraan generasi muda Kedah.
“Jadi, kita akan bincangkan perkara ini dan buat keputusan terbaik demi anak-anak kita.”
Kelmarin, media melaporkan kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk vape di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dilaporkan berkata penguatkuasaan terbabit adalah langkah proaktif membendung penjualan dan penggunaan produk vape yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan terutama generasi muda.