Beri universiti lebih banyak autonomi, kata Saifuddin

Beri universiti lebih banyak autonomi, kata Saifuddin

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi Saifuddin Abdullah berkata kerenah birokrasi dan lantikan politik menyebabkan sektor akademik negara ketinggalan.

Saifuddin Abdullah berkata menyingkirkan pelantikan politik ke lembaga pengarah universiti boleh meningkatkan daya tarikan universiti Malaysia kepada cendekiawan.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Saifuddin Abdullah menggesa universiti awam diberikan lebih banyak autonomi dan halangan birokrasi dikurangkan bagi membolehkan institusi pengajian tinggi negara berkembang maju.

Beliau berkata, walaupun Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memainkan peranan penting dalam mengekalkan standard akademik dan akreditasi kursus, proses perlahan agensi itu dan risiko kerenah birokrasi menyebabkan sektor akademik negara ketinggalan di peringkat global.

“Kita perlu memberi universiti awam beberapa bentuk autonomi. Ketika ini, setiap mata pelajaran dan kursus mesti diluluskan MQA. Walaupun kawalan kualiti penting, MQA sangat perlahan dalam meluluskan mata pelajaran baharu.

“Ada perkara tertentu yang perlu dilaporkan kepada MQA. Dalam beberapa kes, jika anda tanya saya, universiti perlu bebas melakukan apa yang mereka fikirkan patut,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

MQA ialah badan berkanun bertanggungjawab mengakreditasi program pengajian tinggi dikendalikan sektor awam dan swasta. Ia melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) sebagai asas jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Ia turut mengekalkan Daftar Kelayakan Malaysia (MQR), yang mengesahkan kelayakan bertauliah untuk majikan dan pelajar serta memudahkan pengiktirafan antarabangsa.

Saifuddin menggesa MQA mempercepatkan proses kelulusan kursus baharu dan mencadangkan sebaik sahaja universiti memenuhi piawaian asas, ia perlu diberikan tahap autonomi tertentu.

“Ini akan membawa kepada proses membuat keputusan lebih baik dan pantas, khasnya dalam bidang seperti sains, matematik serta teknologi maklumat dan komunikasi. Kepantasan kemajuan dalam bidang ini amat besar.

“Tiada lagi zaman penyelidikan mengambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkan hasil. Hari ini, kejayaan boleh dicapai dalam beberapa minggu, malah beberapa hari dan selepas itu, peralatan anda sudah lapuk.”

Beliau berkata, autonomi universiti tulen tidak boleh dicapai selagi pelantikan politik terus mempengaruhi kedudukan kepimpinan.

Katanya, naib canselor perlu dipilih daripada kalangan sarjana terkemuka negara untuk memupuk kredibiliti akademik dan menarik perkongsian antarabangsa.

“Wujud kekurangan sarjana di lembaga pengarah universiti dan ini tidak menggalakkan ahli akademik global bekerjasama dengan institusi Malaysia.

“Anda perlu menarik minat orang ramai menjalankan penyelidikan dan menarik mereka ke universiti. Universiti terbaik di dunia bukan sahaja menarik sarjana dengan geran, tetapi juga berdasarkan reputasi mereka.

“Mereka membuatkan sarjana berkata: ‘Saya mahu ke sana kerana mahu bekerja dengan anda, dan saya tahu anda mempunyai pasukan hebat’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.