Agong ucap tahniah JDT juara Piala Malaysia

Agong ucap tahniah JDT juara Piala Malaysia

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong setia JDT atas sokongan padu diberikan kepada skuad Harimau Selatan.

JDT FINAL PIALA MALAYSIA
JDT melengkapkan kejayaan ‘triple treble’ dengan menjuarai Piala Malaysia 2024/2025 menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada perlawanan akhir malam tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2024/2025.

Menurut hantaran dimuat naik di akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong setia JDT atas sokongan padu diberikan kepada skuad Harimau Selatan itu.

“Tidak kira JDT beraksi sama ada di dalam negara mahu pun luar negara, penyokong sentiasa hadir memberikan sokongan mereka.

“Mereka menjadi sumber inspirasi dan kekuatan buat pasukan dalam menyemarakkan semangat juang serta suntikan motivasi untuk terus melakar kejayaan,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan syabas kepada anakanda baginda Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT.

“Pelbagai kejayaan cemerlang dikecapi JDT di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa serta mengharumkan nama Johor di persada dunia,” titah Seri Paduka Baginda.

JDT melengkapkan kejayaan ‘triple treble’ dengan menjuarai Piala Malaysia 2024/2025 selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.