Tiada niat pengaruhi PRU, simpati nasib Melayu-Islam Singapura, kata ketua Pemuda PAS Selangor

Tiada niat pengaruhi PRU, simpati nasib Melayu-Islam Singapura, kata ketua Pemuda PAS Selangor

Mohamed Sukri Omar dinamakan pihak berkuasa Singapura antara tiga individu asing didakwa cuba mempengaruhi PRU negara itu.

Sukri Omar
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, berkata membela identiti Melayu-Islam di Singapura bukan bermaksud mengancam keamanan, tetapi meneguhkan keadilan sosial sebenar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS menafikan dakwaan cuba mempengaruhi atau mencampuri urusan PRU Singapura yang bakal berlangsung 3 Mei ini.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata perkongsian hantaran di Facebook sebelum ini hanyalah sebahagian tanggungjawab moral sebagai Muslim yang prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu-Islam di negara itu, yang disifatkannya semakin terhimpit.

“(Ini seperti) dalam pelbagai sudut, sama ada dari segi pendidikan, ekonomi, atau kebebasan berbudaya,” katanya dalam kenyataan.

Sukri turut menegaskan beliau menghormati sepenuhnya kedaulatan dan undang-undang Singapura.

Beliau berkata, tidak pernah berniat, secara langsung atau tidak untuk mengganggu proses demokrasi di negara tersebut.

“Hak membela keadilan, maruah, dan masa depan sesuatu bangsa bukanlah satu bentuk ‘campur tangan asing’ apabila ia dilakukan dengan adab, prinsip, dan cinta kepada kemanusiaan, tanpa paksaan atau hasutan kepada mana-mana parti politik di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Sukri menegaskan orang Melayu Singapura berhak mendapat ruang adil dan saksama dalam semua bidang kehidupan sebagai warganegara penuh.

“Membela identiti Melayu-Islam bukan bermaksud mengancam keamanan, tetapi meneguhkan keadilan sosial yang sebenar.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip segala perubahan mesti berlaku melalui jalan yang aman, menghormati undang-undang, dan mengangkat martabat semua pihak,” katanya.

Sukri juga mengajak seluruh masyarakat Melayu Singapura untuk terus berjuang secara berhemah dan bijaksana.

“Saya memohon agar semua pihak melihat seruan ini dalam kerangka kasih sayang kepada bangsa dan kemanusiaan, bukan dengan lensa syak wasangka politik yang sempit,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Singapura mengenal pasti tiga warga asing termasuk dua pemimpin PAS didakwa cuba mempengaruhi PRU negara itu.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura dalam kenyataan, berkata pihak berkuasa mengesan beberapa hantaran di media sosial oleh warga asing yang menyentuh urusan politik negara itu.

Katanya, antara warga asing itu adalah Sukri, Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad, dan seorang warga Australia Zulfikar Mohamad Shariff, yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020.

Kata kenyataan itu lagi, Iskandar didapati membuat satu hantaran menyatakan sokongan terhadap calon tertentu, manakala Sukri pula berkongsi hantaran Zulfikar atau dikenali di Facebook sebagai ‘Zai Nal’.

Menurutnya, dalam hantaran tersebut Zulfikar yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2016 mendakwa beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam di Singapura.

Susulan itu, Infocomm Media Development Authority yang bertindak sebagai Penolong Pegawai Pengembali Undi mengarahkan Facebook menyekat akses pengguna Singapura terhadap beberapa kandungan diterbitkan warga asing itu sepanjang tempoh pilihan raya.

Katanya, hantaran itu disasarkan kepada rakyat Singapura dan berpotensi memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama yang menjadi asas keharmonian. Ia juga mendorong kepada peningkatan kandungan media sosial lain yang berbaur sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.