PRK Ayer Kuning: Ibu tunggal bawa 3 anak OKU pilih wakil rakyat

PRK Ayer Kuning: Ibu tunggal bawa 3 anak OKU pilih wakil rakyat

Suzana Ilias berkata walaupun anak-anaknya OKU mereka tetap mempunyai hak untuk mengundi dan memilih pemimpin.

autisme mengundi
Ibu tunggal Suzana Ilias (dua kiri) membawa anak istimewanya Muhammad Khir Khairul Nizam, Nur Fatimah Khairul Nizam (kanan) dan Nurul Ashikin Khairul Nizam (kiri) mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Seorang ibu tunggal tetap membawa tiga anak istimewanya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRK DUN Ayer Kuning hari ini, walaupun berdepan cabaran menguruskan mereka di pusat pengundian.

Suzana Ilias, 53, berkata ini adalah kali kedua anaknya Muhammad Khir Khairul Nizam, 29, Nur Fatimah, 28 dan Nur Ashikin, 25, masing-masing menghidap autisme, keluar mengundi selepas melakukannya pada PRU15.

“Kali ini agak mencabar kerana saya seorang diri perlu menguruskan ketiga-tiga mereka. Dulu arwah ayah mereka ada membantu, tetapi selepas meninggal dunia tahun lepas, saya uruskan semuanya seorang diri.

“Walaupun dua daripada mereka boleh menguruskan diri sendiri, seorang lagi (Fatimah) masih perlu dipantau rapi. Dia agak takut dengan suasana orang ramai, sebab itu saya selalu peluk dia,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor.

Suzana berkata, walaupun anak-anaknya orang kurang upaya (OKU), mereka tetap mempunyai hak untuk mengundi dan memilih pemimpin.

“Saya ada ajar sikit tentang proses mengundi, selebihnya terpulang kepada mereka untuk buat pilihan sendiri,” katanya yang tidak bekerja dan menetap di Rumah Awam Tiga, Bidor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.