Pandangan Malaysia berkait tarif diterima cukup baik AS, kata menteri

Pandangan Malaysia berkait tarif diterima cukup baik AS, kata menteri

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan namun mengakui perjanjian dua hala akan mengambil masa.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata Malaysia mahu mengekalkan hubungan baik dengan AS.
PETALING JAYA:
Pandangan Malaysia diterima ‘cukup baik’ Amerika Syarikat (AS) dalam perbincangan pusingan pertama tarif timbal balik 24%, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Namun, beliau mengakui perjanjian dua hala akan mengambil sedikit masa.

Bercakap pada Forum Kepimpinan Asean oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di Washington semalam, Amir berkata Malaysia menekankan usaha mengekalkan hubungan baik dengan AS.

“Malaysia sentiasa menjadi rakan ekonomi yang baik kepada AS. Itulah sebabnya AS sentiasa menjadi antara pelabur asing tertinggi Malaysia di negara ini”

“Kami menyediakan persekitaran yang membantu syarikat AS berkembang maju di Malaysia. Intel telah berada di Malaysia sejak 1971. (Syarikat lain telah) berada di Malaysia lebih lama, (ada sebahagian) malahan sudahpun berada sejak merdeka,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang bagaimanakah bentuk hubungan ekonomi AS-Malaysia yang positif di bawah Pentadbiran Presiden Donald Trump tanpa perang dagang global.

“Jadi, apa yang kami mahukan adalah, keupayaan untuk kami mengekalkan hubungan ini.

“Wujudkan mekanisme yang menyediakan peluang yang sama rata kepada kedua-dua pihak agar boleh berkembang, boleh bersaing bersama-sama, untuk menyepadukan apa yang mereka ada di Malaysia ke dalam rantaian bekalan global mereka. Itu adalah hasil yang hebat,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan untuk memberi tumpuan kepada bagaimana mengembangkan lagi kemakmuran ekonomi dan bukannya terlibat dalam perbalahan untuk mengasing-asingkan pasaran.

Pendekatan sebegitu akan menambahkan sedikit nilai, katanya.

Pada 24 April, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Zafrul Aziz telah mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer serta Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick di Washington.

Miti menerusi kenyataan selepas mesyuarat tersebut, berkata Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan AS bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama berhubung tarif timbal balik diumumkan pentadbiran Trump.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.