
Ketua Polis Padawan, Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, berkata mangsa 34 tahun itu ialah penumpang Perodua Myvi, tetapi tidak mendedahkan lelaki terbabit duduk di bahagian depan atau belakang.
Menurutnya, dua lelaki membawa mangsa terbaring dalam kereta itu ke Balai Polis Batu Kawa pada 5.30 pagi tadi dan memaklumkan dia terkena tembakan ketika mereka melalui Jalan Stephen Yong.
Beliau berkata, pasukan siasatan IPD Padawan dan pegawai perubatan mengesahkan kematian lelaki tempatan itu.
“Terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa,” katanya menurut Harian Metro.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menghubungi pegawai penyiasat Sylvarius di talian 013-863 7241.