
Beberapa pengundi ditemui FMT berpendapat kempen sensasi itu sememangnya dapat menarik perhatian tetapi tidak memberi kesan kerana lebih bersifat politik.
Penduduk Kampung Simpang Tiga Azhar Samsuri, 50, mengakui isu ladang babi memberi kesan tetapi tidak menyeluruh selain yakin masalah terbabit mampu diselesaikan dengan arahan pelaksanaan sistem perladangan canggih.

“Bagi saya keutamaan kami di Ayer Kuning perlu bawa masuk banyak industri terutama babit sektor pertanian.
“Peluang kerja akan bertambah dan penduduk tempatan mempunyai kuasa beli, peniaga dapat pelanggan, maksudnya ekonomi di Ayer Kuning perlu diperkasakan,” katanya.
Azhar turut menggesa masalah banjir, kesesakan dan kos sara hidup juga perlu menjadi perhatian kepada ‘Yang Berhormat’ yang bakal menjalankan tugasnya sebaik diumumkan sebagai pemenang malam nanti.
Bagi Poh Teik, penyediaan peluang pekerjaan menjadi pertimbangan utamanya dalam memilih wakil rakyat baharu di Ayer Kuning supaya anak muda di kawasan itu tidak perlu berhijrah.
“Kita perlu wakil rakyat yang boleh bantu majukan tempat ini, paling penting sedia pekerjaan untuk penduduk tempatan.
“Bila ada pekerjaan di sini tak perlu anak-anak muda merantau,” katanya yang berasal dari Kampung Baharu Coldstream.
Sementara itu, M Ragu, 49, yang berasal dari Kampung Simpang Tiga berharap bakal Adun Ayer Kuning dapat membawa suara untuk mewujudkan perkampungan lebih tersusun selain penyediaan tapak tanah rumah.
“Rumah dan persekitaran yang selesa dapat memperbaiki kehidupan,” katanya.
Bagi Hisham Maarof,24, naratif UmDAP dimainkan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi kesan kepadanya dalam memilih wakil rakyat baharu.

“Orang muda lebih harapkan peluang pekerjaan dan minta penduduk tempatan diutamakan,” katanya.
Seramai 31,316 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab pada PRK Ayer Kuning hari ini, membabitkan pertandingan tiga penjuru iaitu Abdul Muhaimin Malek (PN), Mohamad Yusri Bakir (Barisan Nasional) dan KS Bawani (Parti Sosialis Malaysia).
Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb.