Beberapa parti minat kerjasama dengan PGRS, kata Hajiji

Beberapa parti minat kerjasama dengan PGRS, kata Hajiji

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata ada parti tertentu cadang pembahagian kerusi.

Hajiji
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Hajiji Noor, berkata cadangan pakatan pilihan raya akan disemak selepas mengadakan perbincangan dengan GRS dan PH.
PETALING JAYA:
Beberapa parti menyuarakan minat bekerjasama dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah menjelang PRN Sabah, kata Presiden Hajiji Noor.

Katanya, ada parti berkenaan turut mencadangkan pembahagian kerusi. “Banyak parti melobi untuk kerjasama, malah ada yang sebut jumlah kerusi yang besar,” katanya menurut Borneo Post.

Parti diterajui Hajiji itu menjadi komponen dominan dalam parti pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di mana beliau menjadi pengerusi.

Beliau berkata, cadangan pakatan pilihan raya akan disemak selepas perbincangan dengan GRS dan Pakatan Harapan (PH), parti mesra dalam kerajaan.

Di sebalik rundingan berterusan, Hajiji menyeru ahli parti memberi tumpuan kepada persiapan pilihan raya dan mendukung calon dipilih, sebaik keputusan dimuktamad.

“Saya menyeru semua ahli parti mengetepikan kepentingan peribadi dan bekerja keras demi memastikan calon kita menang.”

GRS dan Barisan Nasional (BN) dalam usaha memikat PH untuk membentuk pakatan pada PRN. Sebelum ini, PH berkata, gabungan berkenaan akan memutuskan perkara itu ketika hampir pilihan raya, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada awal Februari.

Minggu lalu, Hajiji memberi isyarat GRS ingin bekerjasama dengan PH. Namun, semalam Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, berkata rundingan dengan PH bagi membentuk pakatan pilihan raya telah bermula, kurang dua minggu selepas mengumumkan dua gabungan tersebut akan bekerjasama.

GRS ketika ini membentuk kerajaan negeri, di mana menguasai 42 daripada 79 kerusi DUN Sabah, bersama PH (tujuh kerusi), selain sokongan tiga Adun Umno, dan dua Adun daripada parti kecil.

Warisan dan BN menjadi pembangkang, masing-masing mempunyai 14 dan sembilan kerusi.

Penggal DUN Sabah akan berakhir pada 8 Dis ini, dengan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran, atau dewan bubar lebih awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.