Tempoh penjara ibu terdesak dikurang dari 2 bulan ke 6 hari

Tempoh penjara ibu terdesak dikurang dari 2 bulan ke 6 hari

Mahkamah kata Lini Ahmat 'terdesak' ketika mencuri barang runcit dan makanan bernilai bernilai RM374.69.

mahkamah kl
Mahkamah Tinggi KL berkata hukuman dua bulan penjara keterlaluan bagi kesalahan mencuri barang runcit dan makanan bernilai RM374.69.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman penjara seorang ibu dari Sarawak akibat mencuri barang runcit dan makanan, dari selama dua bulan kepada enam hari.

Hakim K Muniandy berkata, hukuman dua bulan penjara yang dikenakan Mahkamah Majistret ke atas Lini Ahmat keterlaluan bagi kesalahan mencuri barang runcit dan makanan bernilai RM374.69 dari pasar raya.

“Tertuduh terdesak (ketika melakukan kesalahan itu),” katanya selepas mahkamah dimaklumkan Lini sedang menunggu pekerjaan sebagai tukang masak di medan selera, dan tiada wang untuk menyara diri.

Semakan itu dibuat Mahkamah Tinggi ketika menyemak keputusan mahkamah rendah pada Selasa.

Lini mengaku salah atas pertuduhan mencuri 30 barang dari pasar raya, pada 19 April. Barangan berkenaan melibatkan produk penjagaan diri, roti, telur, biskut, susu soya, tisu, dan ubat gigi.

Muniandy maklum Lini ditangkap pada 19 April dan ditahan polis selama hampir seminggu.

“Tertuduh dengan itu dibebaskan hari ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah berkata pihak pendakwaan bersetuju dua bulan penjara keterlaluan kerana lazimnya mereka yang mengaku salah kerana mencuri lazimnya didenda atau dipenjara tujuh hari.

Peguam Lini, Collin Arvind Andrew berkata, anak guamnya menyesal atas tindakannya dan berharap mahkamah boleh melegakan hukuman.

Lini beritahu mahkamah bahawa dia di Kuala Lumpur untuk mencari kerja dan kemudian membawa anak-anaknya hidup bersamanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.