PRK Ayer Kuning: BN tiada masalah besar menang, ramal badan pemikir

PRK Ayer Kuning: BN tiada masalah besar menang, ramal badan pemikir

Bagaimanapun Ilham Centre berkata sasaran undi 18,000 diterima calon BN mungkin sukar dicapai.

PRK AYER KUNING
PRK Ayer Kuning esok menyaksikan pertembungan Abdul Muhaimin Malek (PN), Mohamad Yusri Bakir (BN) dan KS Bawani (PSM).
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) dijangka tidak menghadapi masalah mengekalkan DUN Ayer Kuning, namun persoalan besar berkait 18,000 undi disasarkan yang mungkin sukar dicapai, kata sebuah badan pemikir.

Ilham Centre berkata perkembangan itu berkait sejauh mana kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) menerusi kerajaan perpaduan mampu mencapai sasaran ditetapkan oleh Menteri Besar Perak Saarani Mohamad terbabit.

“Ini memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian, walaupun majoriti responden berpendapat sasaran sukar dicapai,” katanya.

Dapatan itu dinyatakan dalam laporan pola pengundi dan prediksi PRK Ayer Kuning yang berlangsung esok.

PRK Ayer Kuning esok menyaksikan pertembungan calon Perikatan Nasional Abdul Muhaimin Malek, Mohamad Yusri Bakir (BN) dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pada PRU15, BN menang dengan 2,213 majoriti undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, menewaskan PH (6,875), PN (6,812), Pejuang 105 dan PSM (586).

Mengulas lanjut, Ilham berkata PRK itu turut menjadi medan menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasinya menang empat pusat daerah mengundi (PDM) pada PRU15.

Menurutnya, fokus utama PN adalah untuk mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada pilihan raya lalu.

“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar,” jelasnya.

Secara keseluruhan, Ilham Centre berpendapat PRK itu menjadi penanda aras kritikal menilai keberkesanan kerjasama kerajaan perpaduan, pengaruh sebenar PN di kalangan pengundi muda Melayu dan faktor peribadi calon dalam mempengaruhi keputusan pengundian dan hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.