PN terbuka bentuk kerajaan dengan parti sederhana, kata pemimpin Bersatu

PN terbuka bentuk kerajaan dengan parti sederhana, kata pemimpin Bersatu

Ahli MPT Saifuddin Abdullah akui PN perlu cari rakan kerjasama jika keputusan PRU15 kekal pada pilihan raya akan datang.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata gerakan sederhana antara agenda utama Bersatu menerusi pengenalan ideologi khas dilancarkan Presiden Muhyiddin Yassin tahun lalu.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) terbuka bekerjasama dengan parti mengamalkan kesederhanaan bagi membentuk kerajaan pada PRU16, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Saifuddin Abdullah.

Yakin PN mampu mengekalkan 74 Parlimen dimenangi pada PRU15, Saifuddin berkata mereka perlu mencari rakan gabungan untuk mendapat 112 kerusi Dewan Rakyat, jumlah minimum bagi pembentukan pemerintahan Putrajaya.

Mengulas keterbukaan bekerjasama dengan parti lain yang menikmati sokongan di kerusi bercampur, Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan perkara itu harus diputuskan PN sebelum atau selepas pilihan raya.

“Tetapi, paling mustahak kita sentiasa terbuka dengan elemen yang moderate (sederhana) daripada parti lain,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tekankan sebarang kerjasama tidak boleh melanggar tunjang perjuangan PN berkait hak Melayu dan Islam.

PRU15 menyaksikan tiada parti mendapat 112 kerusi menyebabkan Parlimen tergantung dan pembentukan kerajaan hanya berlaku dua hari selepas pengundian pada 22 Nov 2022 apabila Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Beliau mengetuai kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain beberapa parti lain termasuk Ahli Parlimen bebas.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelumnya mencadangkan PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan namun ditolak pimpinan PN.

Keterbukaan kerjasama itu turut disuarakan seorang lagi Ahli MPT Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berkata politik Malaysia telah berubah dan tiada lagi parti boleh mendapat majoriti untuk memerintah.

Namun, Ahli Parlimen Machang menegaskan kerjasama itu tidak boleh melanggar tunjang perjuangan PN yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau perkara ini jelas saya fikir sesiapa sahaja boleh bekerjasama dengan PN untuk kita bentuk kerajaan stabil dan kuat,” katanya.

Gerakan sederhana Bersatu

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata gerakan kesederhanaan antara agenda utama difokuskan Bersatu menerusi pengenalan ideologi khas dilancarkan Presiden Muhyiddin Yassin pada Julai tahun lalu untuk menjadikannya parti nasional inklusif abad 21.

Menurut Saifuddin, Bersatu turut membuka ruang kepada komuniti lain menerusi penubuhan sayap bukan Islam dan Melayu yang tarafnya sama seperti Pemuda serta Wanita.

Jelasnya, lima prinsip digariskan menerusi ideologi berkenaan iaitu inklusif, demokratik, kesederhanaan, integriti dan prihatin, semuanya menunjukkan komitmen untuk menjaga segenap lapisan masyarakat.

“Sederhana atau wasatiyyah cukup mustahak untuk Malaysia dan kita tidak boleh ekstrem ke kanan atau ke kiri.

“Kita mesti berada di tengah-tengah,” kata bekas menteri luar negeri itu.

Saifuddin berkata, pendekatan itu diharapkan membantu meningkatkan peluang PN memenangi kerusi bercampur menerusi rakan komponen seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) selain sayap Bersekutu serta Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

“Akhir-akhir ini kita lihat ramai pemimpin daripada parti mewakili Cina telah menyertai Bersekutu di Johor dan Pahang, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Seperti ada pergerakan ramai aktivis dan pemimpin Cina sertai Bersatu, saya anggap ini satu daripada bibit atau trajektori menuju PRU16 yang sangat positif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.