
Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah turut meminta Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki supaya memastikan pelajar Orang Asli berkenaan diberikan biasiswa 100% untuk melanjutkan pelajaran ke IPMA.
“Ini adalah keprihatinan kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Saya membantu terjemahkan pelaksanaannya pada seluruh kumpulan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh.
Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, Asyraf dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Mohd Zolkafly Harun.
Hadir sama lebih 1,000 masyarakat Orang Asli dari seluruh Perak.
Bagi pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan 5A dan ke bawah pula, Zahid berkata mereka juga akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara.
Beliau berkata untuk 2024, sebanyak 1,932 pelajar Orang Asli telah menduduki peperiksaan SPM di seluruh Semenanjung Malaysia dan daripada jumlah itu, 87 pelajar berjaya mencatat keputusan 5A ke atas iaitu 9A (dua), 8A (13), 7A (11), 6A (22) dan 5A (39).
Sementara itu, Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata laluan TVET khusus untuk Orang Asli turut diwujudkan bagi memastikan mereka turut menjadi sebahagian daripada sumber manusia berkemahiran di negara ini.