Menteri kesihatan bimbang minat terhadap STEM menurun

Menteri kesihatan bimbang minat terhadap STEM menurun

Dzulkefly Ahmad kata minat terhadap STEM dilihat menurun sekaligus timbul kebimbangan terhadap sumber tenaga manusia dalam sektor kesihatan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad seru KPM dan Mosti lebih proaktif dalam suntik motivasi kepada pelajar untuk pilih aliran STEM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penurunan minat terhadap aliran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) berpotensi menjejaskan bekalan pelajar ke jurusan perubatan pada masa depan, kata Menteri Dzulkefly Ahmad.

Menteri kesihatan itu berkata minat terhadap STEM dilihat menurun walaupun SPM 2024 menyaksikan lebih 14,000 pelajar peroleh keputusan semua A, sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap sumber tenaga manusia dalam sektor kesihatan.

Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai ‘mustahak’.

“Saya agak bimbang kerana aliran sains yang akan menjadi takungan bekalan untuk jurusan perubatan,” katanya lapor Bernama, mengulas keperluan perkukuh minat terhadap STEM bagi memastikan kelestarian sumber manusia dalam bidang perubatan.

Dzulkefly menggesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi lebih proaktif dalam menyuntik motivasi kepada pelajar untuk memilih aliran STEM.

“Saya harap daripada 14,000 pelajar ini, kita dapat menyemai kembali minat terhadap STEM,” katanya.

“Ini amat penting bagi memastikan isu berkaitan sumber manusia di Kementerian Kesihatan (KKM) dapat ditangani secara berkesan.”

Katanya lagi, aspek mengekalkan pakar, hala tuju kerjaya, elaun dan kebajikan pegawai kesihatan perlu diberi perhatian bagi memastikan sektor perubatan kekal mampan dan mampu menarik minat generasi muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.